Thursday 20 March 2014

Ketahui Kaedah Merancang Kehamilan

Perancang keluarga cukup penting untuk membantu wanita memahami apakah tindakan yang perlu mereka lakukan sebaik sahaja selesai melalui proses bersalin.

Menurut Dr. Wan Hilya dari Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Selangor terdapat berbagai-bagai jenis perancang keluarga boleh didapati di negara ini dan ia boleh dibahagikan kepada kaedah moden, semula jadi dan traditional. Walau bagaimanapun tiada bukti saintifik yang menyokong keberkesanan kaedah traditional.

Perancang keluarga moden dibahagikan kepada kaedah sementara dan kekal. Kaedah sementara ini terdiri daripada kaedah yang mengandungi hormon dan tidak mengandungi hormon.

Kaedah Mengandungi Hormon

Kaedah perancang keluarga yang mengandungi hormon adalah pil perancang keluarga, suntikan hormon, implan, plaster, tampalan dan Vaginal ring.

Pil Perancang Keluarga

Terdapat 2 jenis pil perancang keluarga iaitu sejenis pil yang mengandungi 2 jenis hormon iaitu estrogen dan progestron manakala sejenis lagi mengandungi 1 jenis hormon sahaja iaitu progesteron. Pil yang mengandungi sejenis hormon selamat digunakan sewaktu ibu tersebut menyusukan anaknya.

Pil Perancang berkesan sekiranya dimakan sewaktu haid bermula setiap hari selama 21 hari kemudian berhenti untuk 7 hari dimana haid  akan keluar pada masa tersebut . Pengambilan ubat perlulah setiap hari serta pada yang sama agar paras hormon tersebut di dalam badan adalah konsisten bagi mengelakkan risiko mengandung. Sekiranya tatacara pengambilan ubat adalah betul, risiko hamil adalah serendah 0.3%. Pengguna kaedah ini akan kembali subur apabila seorang wanita itu berhenti mengambil pil perancang keluarga.

Suntikan Hormon

Suntikan juga mengandungi sejenis hormon dan ia boleh diberi pada wanita yang menyusukan anaknya. Suntikan perlu diambil setiap dua atau 3 bulan sekali bergantung kepada jenis suntikan yang dipilih.

Keberkesanan kaedah ini mengelakkan hamil adalah tinggi iaitu 99.7%. Kelebihan kaedah ini adalah wanita tidak perlu mengingati untuk mengambilnya setiap hari seperti pil dan amat berkesan bagi wanita bekerjaya serta sering outstation.

Tapi perlu diingat penggunaan kaedah berhormon boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami kitaran haid yang tidak teratur untuk berberapa bulan pertama.

Implan

Implan adalah kaedah yang mempunyai keberkesanan 99.9% bagi pencegahan kehamilan. Kaedah ini boleh digunakan sehingga 3 tahun dan kemudian perlu dikeluarkan. Kaedah ini juga menggunakan satu jenis hormon dan sesuai bagi ibu menyusukan anaknya.

Penggunaan kaedah ini boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami kitaran haid yang tidak teratur untuk berberapa bulan pertama.

Kaedah Kecemasan

Kaedah ini digunakan apabila kaedah lain tidak digunakan dan pasangan suami isteri tersebut tidak bersedia untuk mengandung sedangkan hubungan seks tanpa perlindungan telah dilakukan. Dengan ini, pil perancang keluarga kecemasan ini bolehlah diambil selepas bersama dalam masa 72 jam pertama.

Kaedah Tanpa Hormon

Alat Dalam Rahim (Multiload Copper IUCD)

Adalah kaedah perancang keluarga yang boleh digunakan selama 3 tahun dan selepas tempoh tersebut ia perlu dikeluarkan. Alat ini selamat digunakan untuk ibu menyusukan badan disebabkan tiada hormon didalamnya. Keberkesanan kaedah ini adalah 99.4%. Selain itu kitaran haid juga tidak terjejas disebabkan tiada penggunaan hormon.

Kondom

Kaedah ini boleh didapati dengan mudah dan salah satu cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu melakukan hubungan seks. Ia juga boleh mengelakkan penyakit jangkitan kelamin. Sebelum menggunakannya, pemakai perlu memeriksa tarikh luput, meneliti sebarang kebocoran, serta pemasangan yang betul perlu diambil kira untuk memastikan kaedah ini berkesan. Risiko kehamilan dengan kaedah ini adalah 2%.

Diafragma

Sejenis kaedah halangan oleh golongan wanita dimana ia menutupi bahagian serviks. Kaedah ini kurang mendapat sambutan disebabkan kaedah penggunaannya. Wanita perlu memasukkan sendiri ke dalam faraj dan meletakkan ditempat yang betul. Risiko kehamilan dengan kaedah ini juga adalah tinggi iaitu 5%.

Oleh itu, sebagai wanita haruslah bijak memilih kaedah perancng yang sesuai. Dapatkan nasihat dari doktor sebelum mencuba sesuatu kaedah merancang kehamilan.

1 comment:

  1. nice sharing
    byk rupa nya cra car merancang.
    lps dpt first baby kena planning jugak

    ReplyDelete