Friday, 3 January 2014

Cara Menyambut Kelahiran Bayi

Proses pendidikan anak-anak bermula ketika ibu bapa merancang untuk memperoleh anak iaitu bermula ketika 'bersama' suami isteri, ketika hamil, waktu kelahiran  dan selepas kelahiran. Cantiknya ajaran islam, semua itu ada diajar oleh islam yang boleh jadi panduan kepada ibubapa dalam mendidik anak-anak. Tujuannya semoga anak yang baru lahir mengalami perkembangan psikologi, fizikal, rohani, emosi dan akal dalam keadaan sempurna dan diberkati Allah SWT.

Terdapat berberapa perkara sunat yang sangat dituntut dalam islam untuk dilaksanakan ketika kelahiran bayi ini. Ini bermakna ia bukanlah perkara wajib yang berdosa jika tidak dilaksanakan, tetapi hukumnya sunat yang digalakkan untuk dibuat dan mendapat pahalaserta keberkatan Ilahi. Antara perkara sunat yang dilaksankan ketika menyambut kelahiran bayi adalah

1) Diazankan pada telinga bayi
Hikmahnya ialah agar suara pertama yang didengari telinga bayi tersebut ialah kata-kata tentang keagungan Allah dan kalimah mentauhidkan Allah. Tujuannya supaya dia mengenal dan mengakui kebesaran Allah, menyerunya kepada agama Islam dan sujud kepada Allah. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud
"Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w mengazankan Hasan bin Ali (cucu Rasulullah) pada telinganya ketika dia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a"

2)Suapan Pertama
Mulut bayi hendaklah disuapkan dengan buah kurma (yang telah dilumatkan) dan air zamzam. Tujuannya adalah untuk mendapat keberkatan buah kurma dan air zamzam disamping buah kurma mempunyai khasiat yang tinggi. "Abu Musa Al'Asya'ari r.a dalam sebuah riwayat mengatakan: Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu kubawa kepada Rasulullah SAW. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudian disuaonya dengan buah kurma (yang telah dilumatkan), setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku (Bukhari dan Muslim)

3) Aqiqah
Aqiqah dari segi syarak ialah haiwan yang disembelih untuk bayi sewaktu mencukur rambutnya. Sembelihan itu diberi nama Aqiqah kerana ia disembelih dan dipotong sewaktu rambut dicukur dan dikaitkan dengan ibadat. Hukum aqiqah ialah sunat muakkad (amat dituntut) untuk dilaksanakan oleh wali yang menjaganya. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi yang bermaksud:
Setiap anak yang baru dilahirkan tergantung padanya aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing dihari yang ke tujuh, diberi nama pada hari itu juga dan dicukur kepalanya"

Begitulah berberapa perkara yang disunatkan untuk dilaksanakan ketika menyambut kelahiran bayi. Oleh kerana hukumnya sunat, sekiranya kita tidak berkemampuan melaksanakannya atas sebab tertentu, maka tidak dikira berdosa. Tetapi jika berusaha melaksanakannya, pahala sangat besar dan anak tersebut membesar dengan permulaan yang baik menurut ajaran agama islam.

sumber: Majalah Nur

No comments:

Post a Comment